Sembilan lanun berjaya ditahan dalam cubaan merompak kapal minyak
Astro Awani
Januari 31, 2015 18:22 MYT
Januari 31, 2015 18:22 MYT
Cubaan sembilan lanun untuk merompak sebuah kapal membawa muatan kargo minyak jenis Marine Fuel Oil (MFO) sebanyak 700 metrik tan yang bernilai RM900,000 berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Kejadian berlaku di kedudukan dua batu nautika Tanjung Ayam, Perairan Pengerang, Kota Tinggi Johor selepas agen kapal yang dirompak MT Sun Birdie memaklumkan kapal mereka tidak dapat dihubungi kepada pihak berkuasa pada 29 Januari lalu jam 11 pagi.
Bertindak atas maklumat, aset APMM termasuk sebuah pesawat udara digerakkan dan berjaya menemui kapal tersebut pada hari sama kira-kira jam 10.45 malam di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang Perairan Pengerang.
Pengarah Operasi Wilayah Selatan, Laksmana Pertama Maritim Ibrahim Mohamed berkata hasil pemeriksaan mendapati 17 orang berada dalam kapal tersebut dimana 10 kru kapal telah diikat.
Manakala tujuh lanun menyamar sebagai kru kapal dan dua lagi telah terjun ke laut setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa, tetapi berjaya ditahan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi Johor.
Jelas Ibrahim, sembilan lanun berwarganegara Indonesia berumur 26 hingga 48 tahun itu menggunakan modus operandi merompak kapal dan seterusnya menjual minyak kepada kapal lain sebagai pembeli yang telah diaturkan dengan harga RM600,000.
Katanya hasil siasatan awal mendapati kesemua lanun tersebut berjaya mengambil alih kapal semasa kapal bersauh dengan menggunakan tiga pistol mainan, parang, kerambit dan tukul besi.
Pihaknya percaya kesemua lanun itu dibawa menggunakan bot pancung dari Tanjung Sengkuang Batam oleh rakan mereka sebelum merompak kapal terbabit.
Kesemua lanun dan kru kapal sebenar iaitu tiga warganegara Indonesia dan tujuh warganegara Myanmar ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (Akta 547) dan akta berkaitan.