Sembilan lagi jenazah warga Malaysia akan dibawa pulang Jumaat - Tiong Lai

Marlina Manaf
Ogos 17, 2014 15:36 MYT
Sembilan lagi jenazah warga Malaysia akan dibawa pulang Jumaat - Gambar fail
Sembilan lagi jenazah warga Malaysia mangsa insiden MH17, yang sudah dikenal pasti identiti mereka akan dibawa pulang Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun menjelaskan, proses membawa pulang jenazah tersebut bergantung kepada kelulusan dan dokumentasi dari pihak Belanda.
Tiong Lai memberitahu kebiasaannya, proses kelulusan dari pusat bedah siasat Hilversum selepas satu-satu mayat dikenalpasti, mengambil masa lima ke tujuh hari.
"Sekiranya dalam tempoh terdekat ini, proses dokumentasi dan kelulusan dari pihak Belanda diperoleh, kita akan membawa pulang kesemua 24 mayat, kerana pesawat Boeing 747 yang digunakan boleh membawa banyak jenazah," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Perhimpunan Agung Wanita MCA Selangor di sini.
Bagaimanapun ujarnya, sekiranya kelulusan tidak diperoleh dalam masa terdekat, baki jenazah itu dibawa pulang dalam kumpulan kedua.
Tambahnya, kerajaan memberi jaminan proses membawa pulang jenazah mangsa MH17 berjalan lancar.
Ia termasuk menghantar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong ke Amsterdam, bagi membantu proses pengurusan jenazah bukan Islam.
Pada Jumaat, satu pasangan warga emas yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam nahas MH17 bersetuju upacara pembakaran mayat mereka dilakukan di Amsterdam, Belanda.
Tan Ah Chin, 62, dan suaminya, Ng Pae Soon, 67, bekas kakitangan klinik kesihatan berkata, mereka memutuskan demikian kerana faktor kurang sihat dan tidak mengetahui prosedur urusan persemadian mayat yang terkorban dalam nahas seperti itu.
Dalam pada itu, Tiong Lai memberitahu, kerajaam akan mengumumkan maklumat terperinci berhubung istiadat penerimaan jenazah berkenaan dalam masa terdekat.
Ia bagi memaklumkan kepada orang ramai lokasi sewajarnya bagi mereka yang mahu memberi penghormatan terakhir.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos ini sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas MH17 di Ukraine.
Beliau berkata satu istiadat penghormatan jenazah tragedi itu akan diadakan pada hari tersebut di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
#Amsterdam #jenazah #Kuala Lumpur #Malaysia Airlines #MH17 #Rusia #tiong lai #Ukraine
;