Sembilan kereta, tiga motosikal musnah dalam kebakaran bengkel
Bernama
Mac 20, 2024 23:05 MYT
Mac 20, 2024 23:05 MYT
KANGAR: Sebuah bengkel kenderaan di Kampung Guru di sini musnah dalam kebakaran selepas belukar berhampiran terbakar lalu merebak ke premis itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Penguasa Kanan Bomba I Mohd Zaidi Ma'at berkata sembilan kereta dan tiga motosikal yang berada di bengkel itu turut dijilat api.
Beliau berkata bomba menerima panggilan berkaitan kebakaran itu pada 1.56 tengah hari sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
"Setibanya di lokasi anggota bomba mendapati berlaku kebakaran belukar dan merebak ke bengkel berkenaan, namun tiada mangsa terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Zaidi api berjaya dikawal pada 4.37 petang dan punca kejadian sedang disiasat.
-- BERNAMA