Sembilan keluarga pilu, rumah terbakar menjelang Syawal
Bernama
April 28, 2022 15:15 MYT
April 28, 2022 15:15 MYT
KOTA BHARU: "Saya kena kuat dan reda dengan ketentuan Illahi walaupun rumah dan barangan kelengkapan persiapan Aidilfitri musnah terbakar," kata Tuan Nah Tuan Mat, 53, seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan sembilan rumah kampung di Lorong Senai-Berek 12, di sini, pagi tadi.
Ketika kejadian pada pukul 9 pagi itu, Tuan Nah yang juga ibu tunggal kepada dua anak lelaki sedang membeli barangan dapur di Pasar Berek 12, yang terletak tidak jauh dari rumahnya, berasa terkejut apabila dimaklumkan seorang peniaga mengenai kejadian kebakaran di kawasan kejirannya.
"Sebaik sahaja mendengar berita itu, saya terus bergegas pulang kerana takut sekiranya rumah terbakar itu rumah saya serta bimbang keselamatan dua anak lelaki yang berusia 24 dan 22 tahun.
"Saya sangat terkejut kerana mendapati rumah saya hangus dijilat api dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang dalam rumah terbabit, namun saya bersyukur anak-anak saya selamat," katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.
Beliau yang baharu sahaja kehilangan suami tercinta pada 24 Mac lepas, tidak menyangkabhidupnya ibarat 'sudah jatuh, ditimpa tangga' apabila terpaksa meraikan hari raya tahun ini tanpa suami dan rumah yang menjadi tempat berteduh tiga beranak itu.
Peniaga nasi kerabu, Che Nab Che Jaafar, 65, yang turut menjadi mangsa kebakaran berkata beliau dan keluarganya terpaksa berputih mata apabila semua baju raya dan barangan jualannya tidak dapat diselamatkan kerana kejadian kebakaran itu berlaku dengan cepat.
"Saya rasa sangat sedih sebab baju raya anak-anak, duit, barang-barang saya berniaga nasi kerabu semua terbakar dan tidak dapat diselamatkan.
"Saya tidak tahu bagaimana saya dan keluarga hendak sambut Aidilfitri tahun ini," katanya yang turut mengalami kerugian susulan kemusnahan 100 ekor ayam yang disimpan dalam peti sejuk beku di rumahnya itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata sebaik menerima panggilan pada 9.53 pagi, seramai 35 anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kota Bharu, Kota Darulnaim dan Pengkalan Chepa telah digerakkan ke lokasi.
"Sembilan rumah terlibat dalam kebakaran ini, dengan lima rumah terbakar 100 peratus manakala empat rumah lagi terbakar sebanyak 20 peratus.
"Kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain pada pukul 10.30 pagi tadi," katanya menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.
-- BERNAMA