Sembilan individu didakwa culik wanita warga Indonesia

Dewi Nur Harasha Alias
September 29, 2023 11:35 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret George Town atas tuduhan menculik seorang wanita warga Indonesia, tiga minggu lalu. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Sembilan lelaki termasuk seorang wanita dituduh di Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan menculik seorang wanita warga Indonesia, tiga minggu lalu.
Tertuduh iaitu Mohamad Noor Shahrizuan Hashin, Tan Gim Chun, C. Youganathan, Elaine Gooi Swee May, Lok Wai Lun, Haffizan Samsudin dan Noorazlin Mat Kasa serta dua warga Indonesia iaitu Yussuf Bahtiar dan Agong Laksono.
Kesemua mereka masing-masing berusia 29 hingga 41 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan mereka dituduh secara bersama telah menculik seorang wanita warga Indonesia yang juga isteri kepada seorang kontraktor dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM540,000.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong kira-kira jam 7 pagi 7 September lepas.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 40 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya S. Darrshini manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Chiang Kan Hong.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan mereka ditempatkan di Penjara Reman Pulau Pinang.
Kes akan disebut semula 11 Disember depan sementara menunggu laporan perubatan dan dokumen berkaitan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga Indonesia yang datang bercuti ke negara ini telah diculik selama 10 hari angkara hutang suami berjumlah RM540,000.
Selain dikurung, wanita tersebut turut diikat dengan rantai besi, didera termasuk dicucuh dengan puntung rokok dan dicucuk jarum selain disebat menggunakan paip getah.
Bagaimanapun penderitaan mangsa berakhir selepas dia berjaya diselamatkan polis dalam satu operasi khas Op Scorpion Rantai Penang di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, 17 September lalu.
#culik #wanita #warga asing #wang tebusan
;