Sembilan individu didakwa ceroboh hutan simpan di Sik
Adie Sufian Zulkefli
September 24, 2023 14:24 MYT
September 24, 2023 14:24 MYT
BALING: Seramai sembilan individu termasuk lima warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Baling, hari ini, atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu.
Mengikut pendakwaan tertuduh, Tho Wei Loon, 45, Chen Wei Ming, 45, Zarhabi Shaari, 61, Abdul Halim Nawang, 61, yang merupakan rakyat tempatan dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartment 35 Hutan Simpan Rimba Teloi tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal pada jam 4.12 petang 14 September lalu.
Selain itu, Li Juemin, 49, warga negara China, Aswadi, 43, Dedy Junaidi, 40, Muhamad Zaenuri, 31 dan Nasron, 51, yang merupakan warga negara Indonesia turut didakwa dengan pertuduhan yang sama.
Mereka dituduh di bawah Sub Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesemua yang didakwa mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 setiap seorang kepada Wei Loon, Wei Ming, Zarhabi, Abdul Halim dan Juemin dengan seorang penjamin.
Bagi Aswadi jaminan ditetapkan hakim sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warga negara Malaysia.
Bagaimanapun tiada jaminan ditawarkan kepada Dedy Junaidi, Muhamad Zaenuri dan Nasron.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Halina Othman.
Sementara itu, Wei Loon turut dituduh menggaji empat imigran haram warga Indonesia mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 yang boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap seorang yang diambil bekerja.
Dalam pada itu, Juemin pula turut dituduh melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu gagal mematuhi syarat Pas Lawatan (Sosial) dengan bekerja sebagai mengambil dan menguji sampel tanah di tempat tangkapan berkenaan.
Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada Wei Loon manakala RM5,000 kepada Juemin masing-masing dengan seorang penjamin.
Tertuduh Wei Loon, Wei Ming dan Juemin diwakili peguam Tan Yi Bin, Abdul Halim diwakili peguam Hairul Azam Hassan manakala Zarhabi diwakili peguam Amnach a/l Ee Niam.
Empat lagi tertuduh warga negara Indonesia tidak diwakili peguam.
Hakim menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.