Sembilan ekor serigala terlepas, zoo terpaksa ditutup serta-merta
Agensi
Disember 25, 2021 13:24 MYT
Disember 25, 2021 13:24 MYT
Montredon-Labessonnie: Gara-gara sembilan ekor serigala terlepas daripada jagaan, sebuah zoo di selatan Perancis terpaksa ditutup sementara untuk memastikan keselamatan pengunjung.
Agensi BBC melaporkan, tiada pengunjung yang tercedera ketika kejadian di Zoo Trois Vallées, namun kumpulan serigala berkenaan telah memusnahkan pengadang keselamatan dan memanjat pagar di sekeliling.
Biarpun haiwan itu tidak melepaskan diri dari zoo tersebut, empat daripadanya terpaksa ditembak sehingga mati, atas alasan ‘tingkah laku yang merbahaya’, menurut pegawai tempatan Fabien Chollet.
Baki lima lagi serigala telah ditembak dengan pelali dan diletakkan kembali ke tempat kurungan haiwan tersebut.
Dalam laman web rasminya, Zoo Trois Vallées memaklumkan, sehingga tahap kawalan keselamatan ditingkatkan semula, zoo itu akan ditutup selewat-lewatnya pertengahan Januari ini.
Dalam pada itu, pemilik zoo berkenaan Sauveur Ferrara berkata, kesemua serigala itu hanya tiba di zoo tersebut baru-baru ini.
Taman seluas 60 hektar itu, menempatkan lebih 600 haiwan termasuk singa, monyet dan burung Flamingo.