Sembilan ditahan samun kedai emas di Selayang
Aizat Sharif
Februari 28, 2013 06:00 MYT
Februari 28, 2013 06:00 MYT
Sejumlah besar barang kemas bernilai RM50,000 yang dilarikan dari sebuah kedai emas di Selayang Baru pada 18 Februari lalu berjaya ditemui semula dengan tertangkapnya sembilan orang termasuk dua wanita di sekitar Gombak minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A.Thaiveegan berkata berikutan kejadian tersebut, polis berjaya mengesan dan menahan empat lelaki di sebuah rumah di Kampoung Melayu Batu Caves pada 19 Januari iaitu sehari selepas kejadian tersebut.
“Berdasarkan maklumat awam, suspek-suspek berusia 16 dan 27 tahun itu berjaya dijejaki dan ditahan sekitar jam 6.50 petang hari tersebut,” kata Thaiveegan.
Polis turut merampas dua buah motorsikal, empat resit urusan pajak gadai dan dua ‘vest’ berwarna hijau.
Siasatan keatas suspek itu kemudiannya membawa polis kepada lima lagi tangkapan termasuk dua wanita beberapa hari kemudiannya.
“Dari kesemua suspek, tiga daripadanya memang terlibat dalam kejadian samun tersebut manakala selebihnya hanya bertindak sebagai membantu suspek dan mereka masih lagi ditahan unutk membantu siasatan,” beliau berkata.
Sebahagian rantai leher yang disamun itu turut dipercayai telah dipajak di beberapa kedai pajak gadai sekitar Gombak dan Sentul berikutan penemuan beberapa resit urusan pajak gadai dari suspek.
Dalam kes berasingan, dua lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes samun trak pikap, Toyota Hilux di Pekan Rawang pada 19 Februari lalu.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam itu, seorang pengusaha restoran dalam lingkungan 50an telah disamun dan kenderaanya dilarikan oleh tiga lelaki.
Trak pikap tersebut dipercayai dilarikan ke sebuah bengkel membaiki kenderaan dimana nombor plat pendaftarannya ditukar.
Setelah itu, ianya dibawa ke sebuah kawasan perumahan di Buntong, Ipoh.
Risikan polis kemudiannya berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan perumahan dan dua lekaki dalam usia 30an kemudiannya ditahan.
Polis percaya kedua-dua lelaki tersebut adalah pembeli trak pikap itu dan usaha mengesan suspek yang melarikan kenderaan itu masih giat diteruskan.
Siasatan awal polis mendapati, anggota kumpulan samun ini berasal dari Kuala Selangor dan dipercayai banyak terlibat dengan kejadian menyamun dan melarikan trak pikap terutamanya Toyota Hilux di sekitar Lembah Klang.
Suspek kini direman sehingga 3 Mac untuk membantu siasatan.