Sembilan dicekup leka main judi dalam ladang sawit

Sinar Harian
Februari 8, 2022 07:00 MYT
Meng Seah (dua, kiri) menunjukkan sebahagian wang tunai yang dirampas dalam serbuan Op Dadu ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Selasa. -Foto Sinar Harian
MELAKA: Sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan ketika leka berjudi dalam serbuan di kawasan ladang sawit, Kampung Lok Kuala Sungai Baru, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kesemua mereka yang ditahan itu berusia 29 hingga 66 tahun.
Menurutnya, hasil risikan yang dilakukan mendapati lokasi itu dijadikan aktiviti perjudian sejak seminggu lalu dipercayai bermula jam 6 petang hingga tengah malam bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
Katanya, aktiviti yang diketuai penganjur berusia 41 tahun itu mempertaruhkan wang perjudian minimum RM2,000 hingga RM20,000 kepada pemain selain dipercayai mendapat keuntungan kira-kira RM40,000 sehari.
"Penganjur yang merupakan pengusaha kelapa sawit menghebahkan aktiviti perjudian itu dalam kalangan kenalan yang kebanyakan juga merupakan pengusaha sawit.
"Pelbagai rampasan turut dilakukan antaranya peralatan perjudian dan wang tunai berjumlah RM104,578," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak dua serbuan judi tempat bebas telah dijalankan dalam tempoh Op Dadu bermula 25 Januari lalu.
Menurutnya, tangkapan itu membabitkan seramai 17 orang berusia 25 hingga 67 tahun dengan rampasan keseluruhan wang tunai berjumlah RM108,610.
"Kesemua mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi enam bulan dan denda maksimum RM5,000," katanya.
Jelas beliau, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, sebanyak 78 serbuan telah dilakukan melibatkan 49 serbuan judi dalam talian, 27 serbuan judi loteri awam tanpa lesen dan dua judi tempat bebas.
Menurutnya, dalam tempoh itu seramai 91 individu ditahan dan merampas 48 telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM114,689.
"Setakat ini sebanyak 78 kertas siasatan telah dibuka dan masih dalam peringkat siasatan bagi tujuan pertuduhan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#kelapa sawit #Lim Meng Seah #aktiviti perjudian #pengusaha sawit
;