Sembilan cedera dalam kemalangan bas dan treler di Rembau
Bernama
Januari 24, 2018 09:06 MYT
Januari 24, 2018 09:06 MYT
Sembilan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah treler di Kilometer 232.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur keluar Pedas-Linggi, Rembau awal pagi ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata dalam kejadian 3.53 pagi itu, bas yang dinaiki 30 warga Bangladesh terbabit telah merempuh sisi kanan belakang treler di laluan kiri lebuh raya berkenaan.
"Seorang penumpang cedera parah, manakala lapan yang lain cedera ringan termasuk pemandu. Kesemua 30 mereka termasuk pemandu dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan.
"Bas berkenaan dipercayai dari Johor Bahru menuju ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. Punca kemalangan belum dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi dan tiba di lokasi kejadian bersama 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Tampin dan Alor Gajah, Melaka, setengah jam kemudian.
-- BERNAMA