Sembilan bulan penjara akibat cederakan polis
Shuhada Abdul Kadir
April 17, 2018 17:18 MYT
April 17, 2018 17:18 MYT
Seorang buruh kasar meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas mencederakan anggota polis dengan menyembur cecair pemedih mata.
Tertuduh, Zool Hasif Abd Jalil, 40 tahun, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyebabkan cedera pada bahagian mata Lans Koperal Jazlan Mohamad Nor dengan menggunakan cecair pemedih mata sekitar jam 11.50 malam di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, 6 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, insiden berkenaan tercetus ketika anggota polis tersebut membuat rondaan cegah jenayah dan cuba menahan Zool Hasif yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Tertuduh bagaimanapun bertindak meninggalkan motosikal dan melarikan dengan bersembunyi ke dalam longkang berdekatan.
Sebaik menghampiri, tertuduh bertindak menyembur cecair pemedih mata ke arah mangsa sehingga mencederakannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari memohon hukuman berat dengan mengambil kira mangsa merupakan seorang anggota polis.
Zool Hasif yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan menanggung keluarga termasuk ibunya yang sedang uzur.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara bermula dari tarikh jatuh hukum.