Sembilan akta bakal dipinda - Menteri Sumber Manusia

Isabelle Leong
September 13, 2018 19:44 MYT
Kata Kula Segaran, Malaysia tekad menghapuskan penggunaan buruh dalam kalangan kanak-kanak menjelang 2025. - Gambar hiasan
Kementerian Sumber Manusia dalam proses meminda dan menaik taraf sembilan akta berkaitan pekerjaan, dan dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, M. Kula Segaran berkata, proses pemindaan telah bermula beberapa bulan lalu dan terdapat banyak perubahan yang perlu dilakukan.
Antara akta yang bakal dipinda atau ditambah baik termasuk Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah, Ordinan Buruh Sarawak, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.
"Akta-akta tersebut sudah ketinggalan zaman. Akta-akta ini sepatutnya dipinda bertahun-tahun yang lalu.
"Sebahagian daripada pemindaan kini di peringkat akhir. Kami berharap dapat membentangkan semua pemindaan di sidang Parlimen Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Putrajaya hari ini.
Kula Segaran mengakui kerajaan menghadapi cabaran untuk meminda akta-akta berkenaan kerana kementerian perlu berunding dengan pelbagai pihak terlibat terlebih dahulu.
Namun, beliau menegaskan Malaysia tekad menghapuskan penggunaan buruh dalam kalangan kanak-kanak menjelang 2025.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Kula Segaran berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan buruh termasuk menggaji kanak-kanak sebagai pekerja.
"Antara 2016 hingga 2018, terdapat lima kes membabitkan buruh kanak-kanak. Pada 2017, dua majikan didenda RM2,000 setiap seorang manakala satu lagi kes pada 2014 di bawah undang-undang antipemerdagangan orang didenda RM6,000," katanya.
Kulasegaran mengakui terdapat beberapa faktor menyebabkan buruh kanak-kanak dalam sektor pertanian, perladangan dan kawasan luar bandar sukar untuk dihapuskan.
"Oleh itu, penguatkuasaan secara tetap adalah kunci untuk memastikan kanak-kanak dilindungi dan memastikan tiada kanak-kanak diambil bekerja sebagai buruh," katanya.
#akta #Akta Kanak-kanak dan Orang Muda Pekerjaan 1966 #buruh kanak-kanak #Kementerian Sumber Manusia #Kula Segaran #pekerjaan #pemindaan akta #Persidangan Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2018
;