Sembilan aduan penipuan peniaga Kota Raya diterima
Anthea Yap
Disember 23, 2015 19:15 MYT
Disember 23, 2015 19:15 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setakat ini sudah menerima sembilan aduan daripada pengguna berhubung penipuan penjualan telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata hasil aduan itu, satu serbuan dibuat dan unit penguatkuasa merampas 34 unit telefon bimbit tiruan pelbagai jenama yang dijual secara sorok.
Menurut Alias, rampasan dibuat mengikut Akta Perihal Dagangan kerana menjual barangan tiruan.
"Tujuan kenapa kita tempatkan 7 pegawai di sini ertinya aduan yang datang di kaunter ini akan dapat terus disiasat dan kita tidak akan cuba menangguh siasatan itu kepada 2 ke 3 hari lagi.
"Jadi walau bagaimanapun, kes ini, pekedai itu tidak menjalankan perniagaan di tempat ini. Kita tidak akan berhenti dan kita akan terus mencari mereka. Kita akan menyiasat dimana mereka berada kerana mereka wajib menjawab dan kita mempunyai prosedur," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang membawa denda RM10,000 bagi setiap unit rampasan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Alias berkata kaunter khas yang dibuka sejak Isnin lalu akan terus beroperasi di Kompleks Kota Raya bagi memudahkan mangsa penipuan tampil membuat aduan.
KPDNKK juga membuka kaunter aduan di beberapa lokasi termasuk Plaza Low Yat dan Kompleks Pertama sehingga jam 11 malam setiap hari.
Beliau ditemui selepas membuat lawatan ke kaunter khas dan premis penjualan telefon bimbit di Kompleks Kota Raya pada Rabu.
Sepanjang tahun ini, KPDNKK menerima aduan sejumlah 39 kes penipuan penjualan telefon membabitkan nilai RM222,164.