Sembelihan ayam di Pasar Besar Peremba tidak patuh standard halal
Amira Suraini Che Mohamad
Februari 27, 2014 14:38 MYT
Februari 27, 2014 14:38 MYT
Tiga pekerja pusat penyembelihan ayam di Pasar Besar Peremba di sini diberi masa seminggu untuk mematuhi standard halal yang melibatkan aspek menyembelih dan memproses ayam selain memastikan tahap kebersihan seluruh proses itu terjamin.
Tiga pekerja itu diberi amaran keras selepas pemeriksaan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) awal pagi Khamis mendapati mereka gagal mematuhi standard halal yang menjadi amalan biasa sembelihan.
Pemeriksaan JAIK itu mendapati kebanyakan pusat penyembelihan memendekkan tempoh pendarahan ayam yang disembelih dengan segera memasukkan ayam berkenaan ke dalam air panas sebaik saja selepas disembelih untuk diproses.
Pusat penyembelihan itu juga didapati tidak memeriksa ayam yang telah disembelih bagi memastikan telah benar-benar disembelih. Ia juga didapati tidak mencuci pisau yang digunakan selepas setiap kali sembelihan.
Penolong Pengarah Penyelidikan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Rosyadah Ramli berkata pusat penyembelihan itu dipercayai tidak mematuhi standard halal yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tegas Rosyadah, biarpun sudah beroperasi selama hampir 10 tahun, pusat penyembelihan itu masih belum memperolehi sijil kelayakan menyembelih ayam.
"(Hasil pemeriksaan) memang keadaan itu tidak memuaskan, tidak sempurna. Pisau yang digunakan tidak dicelup dengan air yang bersih. Ayam yang disembelih itu juga dibaling ke dalam sebuah bekas. Kita bimbang ayam itu mati kerana lemas atau tertindih dengan ayam lain. Jadi, kita nasihatkan kepada penyembelih untuk asingkan ayam itu secara bergilir," katanya.
Ops Cara Sembelihan ini dilakukan secara bersepadu bersama beberapa agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar.
Sementara itu, pihak MBAS merampas 49 ekor ayam termasuk dua ekor ayam yang telah mati.
Kes ini akan disiasat mengikut seksyen 3(a) Undang-Undang Kesil Kekotoran Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983 yang membawa hukuman kompaun maksimum sehingga RM300.