Semarakkan masjid dan surau, rapatkan ukhuwah di bulan Ramadan

Bernama
Mac 12, 2024 08:45 MYT
Umat Islam diseru supaya menyemarakkan masjid dan surau di kawasan masing-masing serta merapatkan ukhuwah dan silaturahim sempena Ramadan yang bermula hari ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyeru seluruh umat Islam di negara ini menyemarakkan masjid dan surau di kawasan masing-masing serta merapatkan ukhuwah dan silaturahim sempena Ramadan yang bermula hari ini.
Fahmi menerusi akaun Facebook rasminya turut mengajak umat Islam meningkatkan amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sempena bulan penuh berkat ini.
"Alhamdulillah, Ramadan yang mulia telah tiba. Sempena bulan penuh berkat ini marilah kita meningkatkan amal ibadah dan mendekatkan diri pada Allah SWT.
"Sama-samalah kita semarakkan masjid dan surau di kawasan masing-masing, merapatkan ukhuwah dan silaturahim sesama umat. Semoga setiap perkara yang kita lakukan dipenuhi dengan keberkatan dan kebaikan," katanya.
Dalam pada itu, beberapa menteri dan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan turut menzahirkan ucapan sama menerusi akaun Facebook rasmi masing-masing semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru agar umat Islam memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kerahmatan dan keberkatan hidup.
"Insya-Allah malam ini (Isnin) seluruh umat Islam di Malaysia akan menunaikan solat tarawih buat kali pertama bagi tahun 2024. Carilah keredaan Allah dengan memperbaiki niat dan memperbanyakkan amal ibadat di bulan yang penuh keberkatan ini.
"Perbanyakan membaca al-Quran, bersedekah serta memberi makan kepada mereka yang berpuasa dan lakukan qiyam dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT. Rebutlah peluang dan tawaran yang telah disediakan oleh Allah untuk kita di bulan ini," katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Ramadan merupakan kesempatan istimewa bagi umat Islam membersihkan hati dan jiwa, dan semoga bulan suci ini membawa keberkatan dan ketenangan.
"Dengan berpuasa di siang hari ia bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan ia juga berperanan mendidik anggota badan untuk turut beribadah. Pada kesempatan ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan keimanan, ketakwaan dan kebaikan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya," katanya.
Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan keluarga turut mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak 1445H kepada seluruh umat Islam.
"Bulan yang ditunggu telah tiba, datangnya bersama rahmat Ilahi membawa berkat kepada kita semua. Inilah Ramadan yang dinanti-nanti.
"Pada kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang salah dan silap yang saya lakukan. Semoga Ramadan kali ini membawa seribu kerahmatan, keinsafan dan semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna dan dipenuhi dengan amal ibadah di dalamnya, insya-Allah," katanya.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut mengucapkan Salam Ramadan kepada seluruh muslimin dan muslimat yang mula berpuasa hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan seluruh warga kerja Kementerian Perpaduan Negara juga mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada semua umat Islam di Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula berharap Ramadan kali ini memberi seribu rahmat dan barakah kepada umat Islam untuk terus meningkatkan ibadah kepada Allah SWT.
"Isilah Ramadan dengan rasa keinsafan, ditingkatkan kesabaran dan memohon keampunan Allah SWT. Selamat menunaikan ibadah Ramadan dengan puasa yang tawaduk, solat yang tenang dan amalan kebaikan yang penuh kekhusyukan," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru agar umat Islam mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan ibadah dan mempertingkatkan ketakwaan kepada-Nya.
"Syukur, Alhamdulillah kita semua diberi peluang untuk menyambut Ramadan pada tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
#Ramadan 2024 #Islam #Al-Quran #Ramadan 1445H #jendela ramadan
;