Semarak Uniti Keluarga Malaysia rai perpaduan, kepelbagaian Keluarga Malaysia

Ehsan A Marisah
September 25, 2022 11:33 MYT
Halimah (lima dari kanan) ketika Majlis Pelancaran SUKM peringkat Wilayah Sarawak yang berlangsung di Dataran Kipas, Miri, hari ini. - Foto Kementerian Perpaduan Negara
MIRI: Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia (SUKM) peringkat negeri Sarawak dilihat bakal menjadi tapak integrasi untuk menyemarakkan dan memperbanyakkan detik perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang meraikan kepelbagaian.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan berkata, pengisian program berkenaan diatur dengan aktiviti yang dapat menggalakkan kefahaman Keluarga Malaysia seterusnya melahirkan rasa hormat dan menghargai serta meraikan kepelbagaian, selain menerima perbezaan.
“Pengisian utama program SUKM adalah Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia di mana adat resam dan budaya serta cara hidup masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di negeri Sarawak antaranya kaum Jatti Miriek, Kedayan, Melanau, Cina, Iban, Kayan dan Kenyah dipamerkan.
“Acara lain seperti Uniti Fun Walk, Citarasa Menu Keluarga Malaysia, Explorace Negaraku, Piknik Keluarga Malaysia dan Pertandingan Mewarna Si Cilik turut diadakan,” kata kenyataan itu, pada Ahad.
KPN turut berkata, program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang turut mempengerusikan Majlis Mesyuarat Perpaduan Negara (MExUnity) Tahun 2022 semalam.
“MExUnity merupakan Majlis Mesyuarat antara Menteri Perpaduan Negara bersama Menteri Perpaduan Negeri Sarawak, Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Exco-Exco Perpaduan Negeri.
“Majlis ini merupakan platform antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kerajaan Negeri untuk membincangkan usahausaha pemangkin penyatupaduan Keluarga Malaysia, pelan tindakan dan perancangan program-program perpaduan yang dilaksanakan di peringkat pusat dan negeri sehingga ke akar umbi bagi mencapai agenda perpaduan nasional,” katanya.
Sementara itu, kenyataan itu menambah, Halimah juga menzahirkan penghargaan paling istimewa buat kerajaan negeri Sarawak atas kerjasama yang diberikan.
Beliau turut berterima kasih kepada 1,063 komuniti KRT negeri Sarawak yang aktif berperanan sebagai agen penggerak perpaduan.
#Semarak Uniti Keluarga Malaysia #kementerian perpaduan negara #Halimah Mohamed Sadique #perpaduan kaum