Semangat Zii Jia untuk badminton negara masih teguh - Ahmad Faizal

Faris Danial Razi
Januari 24, 2022 18:32 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengadakan pertemuan dengan Lee Zii Jia untuk mendengar sendiri pandangan daripada pemain perseorangan badminton negara itu. - Gambar Twitter
KUALA LUMPUR: Semangat serta komitmen pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.
Itu yang dikongsikan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas mengadakan pertemuan dengan pemain badminton nombor tujuh dunia itu pada Isnin.
Menerusi perkongsian di Twitter, Faizal memaklumkan, beliau berpeluang untuk mendengar sendiri pandangan daripada Zii Jia.
“Saya berpeluang untuk bertemu dengan Lee Zii Jia pada hari ini dan mendengar sendiri pandangan beliau, apa yang pasti semangat serta komitmen Zii Jia terhadap sukan badminton negara masih teguh.
“Selagi kita semua berada di halaman yang sama dalam isu kepentingan negara, Malaysia mampu bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang teguh,” ujarnya.
BACA: "Saya ada cadangan selesaikan kemelut BAM-Zii Jia" - Ahmad Faizal
BACA: BAM-Zii Jia perlu duduk semeja, bincang seperti ayah dan anak - Azizulhasni
BACA: Kemelut BAM-Zii Jia boleh jejas fokus kem badminton negara
Sebelum ini, Faizal mendedahkan terdapat beberapa cadangan untuk menyelesaikan konflik antara pemain perseorangan badminton negara itu dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Bagaimanapun, katanya, adalah tidak manis untuk beliau berkongsi cadangan itu sebelum mengadakan pertemuan dengan kedua-dua belah pihak.
Terdahulu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga Juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.
#BAM #badminton #Lee Zii Jia #Ahmad Faizal Azumu
;