Semangat Sukan SEA dalam misi Climb for #QuranHour
Hilal Azmi
Ogos 21, 2017 18:47 MYT
Ogos 21, 2017 18:47 MYT
Mendaki Menara Kuala Lumpur menerusi 2,200 anak tangga bukan sesuatu yang mustahil dilakukan terutamanya dalam misi membina momentum ke arah kemuncak kempen World #QuranHour.
Ikon Rumah Ngaji, Datuk Rosyam Nor menyifatkan semangat sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi suntikan motivasi penting dalam menjayakan misi ini.
"Saya tahu, kekuatan fizikal kami bukannya seperti ahli sukan. Jadi, saya mengajak peserta lain untuk terus mendaki dalam kelajuan sederhana selaras dengan mesej yang disebutkan dalam al-Quran untuk kita bersederhana dalam segala segi," katanya dalam sidang media selepas program Climb for #QuranHour pada Isnin.
Selain Rosyam Nor, Editor Hal Ehwal Semasa dan hos program bual bicara Analisis AWANI Nazri Kahar, jurukamera Sallehin Hussain dan Jurutera Penyiaran Zulfadli Misbah serta dua orang wakil dari Astro Oasis mewakili Kumpulan Astro dalam misi kali ini.
Selain itu, penyertaan turut membabitkan hampir 30 peserta daripada rakan sinergi media (termasuk Astro, Bernama, NSTP, Utusan, TV AlHijrah dan Media Prima).
Kata Rosyam lagi, sebagai individu yang mengetuai misi kali ini, kedudukan itu juga menjadi pendorong untuk beliau berusaha sebaik mungkin bagi memastikannya berjaya.
"Apa yang penting, mesej kesederhanaan saya pegang sepanjang misi kali ini," ujarnya.
Kemuncak kempen World #QuranHour bakal berlangsung pada 31 Ogos ini selaras dengan ketibaan Hari Wukuf sempena 9 Zulhijjah pada tarikh sama.
Setakat ini, kempen #QuranHour telah berjaya mencapai capaian lebih 219 juta pengguna atas talian di seluruh dunia.
#Astro Awani
#astro oasis
#Kuala Lumpur
#Media Prima
#Nazri Kahar
#QuranHour
#Rosyam Nor
#Sallehin Hussain
#Sukan SEA
#World Quran Hour
#Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
#Zulfadli Misbah