Semangat muhibah di kalangan masyarakat penting untuk pupuk perpaduan
Bernama
September 25, 2016 23:25 MYT
September 25, 2016 23:25 MYT
Semangat muhibah di kalangan masyarakat penting kerana ia dapat memupuk perpaduan dan keharmonian di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.
Beliau berkata perpaduan dan keharmonian di negara ini merupakan aspek sangat penting dan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.
"Jika tidak diuruskan dengan bijak, ia boleh membawa perpecahan, permusuhan dan sikap prejudis dalam masyarakat," katanya ketika merasmikan Program Demi Negara Sehati Sejiwa anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya jika semangat muhibah ini tidak dijaga, ia akan memberikan ruang kepada pihak musuh sama ada dalam mahupun musuh dari luar untuk mengeksploitasi kestabilan sosial di negara ini.
Kurup menyifatkan penganjuran program seperti ini adalah manifestasi kepada usaha kerajaan untuk menyedarkan tentang pentingnya memupuk dan mengekalkan keharmonian serta hormat-menghormati.
Katanya program seumpama ini berupaya menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara disamping memperkukuhkan taat setia kepada Raja dan negara.