Semangat muafakat perlu ada dalam diri rakyat Malaysia - Shafie Apdal

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 30, 2020 19:44 MYT
semua rakyat Malaysia perlu saling hormat menghormati dan berhak mendapat kemakmuran di negara tercinta ini.
Semangat bersatu padu dan permuafakatan yang ditanam tokoh-tokoh negarawan seharusnya mengalir di setiap denyut nadi rakyat Malaysia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kemerdekaan yang dicapai negara tanpa menumpahkan setitik darah perlu dipandang mulia disanjung setiap lapisan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
"Kita mencapai kemerdekaan tanpa ada pertempuran dan peperangan. Ia merupakan satu langkah yang telah dilakukan pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mustapha Harun, Tun Fuad Stephen dan ramai lagi secara bermuafakat.
"Permuafakatan itu turut disokong oleh masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama di negara ini," katanya dalam perutusan Ketua Menteri sempena Hari Kemerdekaan ke-63.
Menurut Mohd Shafie lagi, naluri saling mengerti, memahami dan menyantuni nurani rakyat juga perlu dipupuk ke dalam jiwa anak-anak muda serta belia.
Malah tegasnya, semua rakyat Malaysia perlu saling hormat-menghormati dan berhak mendapat kemakmuran di negara tercinta ini.
"Marilah kita bersama-sama bersatu padu, tanpa mengira bangsa dan agama membina satu negara yang gemilang," katanya.
#kemerdekaan #Malaysia #Merdeka #Muafakat #pelbagai kaum #Sabah #Shafie Apdal
;