Semangat kemerdekaan, Tan Sri Muhyiddin imbau detik sejarah 63 tahun lalu

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 30, 2020 14:22 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melaungkan 'Merdeka' ketika menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan ke-63 di Stadium Merdeka. - Foto BERNAMA
Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke 63 tahun, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil semangat Allahyarham Tunku Abdul Rahman ketika beliau mengisytiharkan kemerdekaan Malaysia.
Mengimbau detik itu, Perdana Menteri berdiri di tempat sama ketika menyampaikan Perutusan Khas Hari Kebangsaan ke-63 yang disiarkan pada Ahad malam.
"Saya berdiri di sini pada hari ini di suatu tempat yang amat bersejarah. Di sinilah 63 tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mengisytiharkan pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu.
"Pada pagi tanggal 31 Ogos 1957, di tempat yang amat bersejarah ini, Almarhum Tunku dengan disaksikan puluhan ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu," katanya.
Beliau pada masa sama, memetik ucapan ulung Tunku Abdul Rahman ketika pengisytiharan kemerdekaan, pada 1957.
"Dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.
"Inilah yang diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, disusuli dengan laungan keramat 'Merdeka!'," ujarnya.
#Hari Kebangsaan #kemerdekaan #Merdeka #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Persekutuan Tanah Melayu #Tunku Abdul Rahman