Semangat kebersamaan rakyat Malaysia bantu pulihkan semangat 'Wira Merah'
Bernama
September 16, 2022 12:13 MYT
September 16, 2022 12:13 MYT
MERSING: Masih jelas dalam ingatan Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang tentang peristiwa sedih apabila enam anggota bomba terkorban ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, hampir empat tahun lepas.
Menurut Mohd Rizal yang ketika itu betugas sebagai Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Selangor, walaupun amat sedih berikutan kejadian itu, dengan sokongan seluruh rakyat Malaysia semangat anggotanya tidak luntur dan meneruskan operasi mencari mangsa yang belum dijumpai.
"(Suasana) ketika itu agak sedih dan pilu, tetapi saya nampak walaupun enam anggota kita telah meninggal dunia, kita (tetap) bahagikan tugas. Ada pegawai yang menguruskan jenazah mereka, ada yang fokus dengan misi utama kita masa itu yang masih belum selesai kerana mangsa lemas pada hari itu masih lagi belum dijumpai.
"(Walaupun sedih) operasi tidak ditutup dan tidak diberhentikan, kita tetap teruskan," katanya kepada Bernama baru-baru ini ketika berkongsi pengalamannya mengenai semangat kebersamaan rakyat Malaysia menyokong Wira Merah ketika tragedi itu sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Mohd Rizal yang juga pegawai bertugas secara langsung dalam kejadian itu menyifatkan sokongan dan bantuan tidak henti-henti rakyat Malaysia ketika itu telah membantu meningkatkan semangat pihak anggota bomba.
"Kita rasa terharu dan berbangga dengan semangat rakyat Malaysia ketika itu, daripada akar umbi sehinggalah pucuk pimpinan tertinggi negara. Kita memang nampak (semangat itu), (mereka) menunjukkan rasa simpati, rasa kebersamaan, rasa kekeluargaan.
"Semangat Keluarga Malaysia memang ada pada ketika itu, memberi semangat kepada kami bomba...wira merah untuk menghadapi peristiwa yang amat pedih," katanya dan menambah pelbagai bantuan lain juga diberikan khususnya kepada waris enam anggota bomba yang terkorban dalam tragedi itu.
"Waris enam mangsa memang dari hari pertama (kejadian), sehingga sekarang bantuan tidak putus-putus, apatah lagi anggota kita masih muda, ada anak kecil yang ditinggalkan jadi kita pastikan waris mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Ada antaranya dapat bantuan perumahan, biasiswa, bantuan pelajaran untuk anak-anak dan sebagainya. Jadi saya pada masa itu, sangat terharu dengan semangat dan sokongan rakyat Malaysia yang jitu," katanya.
Selain itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga turun padang dengan membawa pakar kaunseling yang membantu membuat beberapa bengkel terutama kepada pasukan yang kehilangan enam anggota itu.
"Kami diberi kaunseling serta menjalani beberapa program untuk memulihkan semangat, menghilangkan trauma yang ada. Jadi kerjasama antara agensi dan banyak pihak memainkan peranan pada masa itu.
"Dalam keadaan sedih, perasaan kami sedikit terubat bila tengok rakyat Malaysia bersatu padu, sangat memahami dan beri sokongan untuk kita naikkan moral untuk terus pandang ke depan," tambah Mohd Rizal.
Apa yang penting katanya, beliau melihat pengalaman itu sebagai iktibar kepadanya dan pasukan sekali gus bagi mengemudi pasukan JBPM Johor yang turut mempunyai cabaran tersendiri.
"Saya sangat berterima kasih (kepada sokongan rakyat Malaysia) dan sebenarnya hasil daripada laporan dan siasatan yang dijalankan (kita lihat) kelemahan-kelemahan yang ada, penambahbaikan banyak dibuat dari segi prosedur operasi standard (SOP).
"(Dan) kita juga dapat peruntukan daripada pihak kerajaan untuk membina satu pusat latihan untuk penyelamatan di air. Buat masa ini, pusat itu di Akademi Bomba di Wakaf Tapai, Terengganu masih dalam proses pembinaan," katanya.
Pada kejadian 3 Oktober 2018 itu, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air JBPM, lemas dibawa arus ketika cuba menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana. Kejadian itu merupakan tragedi pertama dalam sejarah jabatan berkenaan melibatkan sekumpulan anggota.
-- BERNAMA