Semangat dwipartisan pastikan Kuala Lumpur lebih dinamik - Fahmi

Harits Asyraf Hasnan
Januari 31, 2021 15:52 MYT
Fahmi bersama lapan ahli Parlimen di Kuala Lumpur menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa tersebut bertujuan menjadikan ibu negara ini sebagai bandar raya kelas dunia yang mempunyai perancangan teratur mengikut piawaian antarabangsa.- Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penubuhan Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024 akan membolehkan ahli Parlimen terlibat secara langsung dalam pembentukan dasar serta pelaksanaan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL2020).
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata selain belanjawan tahunan Kuala Lumpur, jawatankuasa tersebut juga akan dilibatkan dalam memberi cadangan, maklum balas, semak dan imbang keberkesanan sebarang projek di Kuala Lumpur.
"Ini (jawatankuasa) penting sebab ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur bukan hanya jaga hal ehwal dan kebajikan warganya, tetapi juga melihat sendiri maklum balas warga Kuala Lumpur terhadap perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi-agensi lain.
"Jika ada platform dan jawatankuasa yang mana maklumat ini dapat disampaikan secara sistematik, teratur dan berkala,maka proses itu semestinya akan ditambah baik.
"Satu-satunya cara ahli Parlimen dapat membangkitkan perkara ini dalam wacana atau platform yang tepat adalah di Parlimen, malangnya waktu ini Parlimen tidak dapat bersidang dan kami tidak ada masa yang secukupnya untuk bahas perkara berkaitan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, cadangan supaya diwujudkan jawatankuasa ini telah dikemukakan beberapa kali sebelum ini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur yang lebih dinamik.
"Harapan saya supaya Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) dalam sehari dua ini boleh memberikan satu pengumuman dimana kami ahli-ahli Parlimen dilibatkan secara telus dan dijemput untuk bekerjasama.
"Namun syaratnya adalah kita putuskan bersama struktur yang ingin diwujudkan agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak," katanya.
Justeru beliau berpandangan, amat penting ketika ini untuk memastikan bukan sahaja kehidupan 1.3 juta rakyat di Kuala Lumpur lebih baik, malah lebih 6 juta individu yang berulang alik setiap hari bekerja di ibu negara.
Semalam, Fahmi bersama lapan ahli Parlimen di Kuala Lumpur menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa tersebut bertujuan menjadikan ibu negara ini sebagai bandar raya kelas dunia yang mempunyai perancangan teratur mengikut piawaian antarabangsa.
Penubuhan jawatankuasa itu antara lain menggubal dasar dan perancangan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang untuk pentadbiran lebih baik serta menetapkan visi baharu bagi rakyat di sini.
#Fahmi Fadzil #Kuala Lumpur #Hari Wilayah Persekutuan #pembangunan Kuala Lumpur #Kuala Lumpur dinamik #Annuar Musa #Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024
;