"Semalam dapat RM60, hari ini belum tentu" - Pemandu teksi

Harits Asyraf Hasnan
Mac 18, 2020 16:18 MYT
Antara penyedia perkhidmatan yang dilihat makin terjejas akibat penularan wabak COVID-19 adalah pemandu teksi. - Foto BERNAMA
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan dan penyedia perkhidmatan.
Antara penyedia perkhidmatan yang dilihat makin terjejas akibat penularan wabak COVID-19 adalah pemandu teksi.
Setelah golongan ini terjejas teruk akibat pelaksanaan perkhidmatan penghantaran (e-hailing), kini mereka berdepan rintangan yang lebih mencabar.
“Dahulu tak ada e-hailing, kita (pemandu teksi) dalam satu hari kita boleh dapat lebih RM200.
“Lepas, ada e-hailing, pendapatan kita kurang sikit. Kadang-kadang ada lebih sikit, kadang-kadang kurang sikit.
“Sampai sekarang, hari ini, dari pukul 8 pagi sampai sekarang (11 pagi) masih kosong, tak ada orang,” kata Tony Chu ketika ditemui Astro AWANI.
Dia yang telah memandu teksi sejak 11 tahun lalu akui, kehidupannya semakin terhimpit akibat cabaran yang mendepaninya.
“Jika semalam, orang masih bekerja. Dari pagi sampai ke malam, saya dapat lebih RM60. Ada sedikit wang yang boleh dibelanjakan.
“Hari ini tak ada langsung. Macam mana saya nak belanja? Sekarang (kehidupan) sangat susah. Di sana sini tutup. Sangat susah sekarang apabila sana sini tutup,” katanya.
Dia yang banyak bergantung kepada pelancong asing amat berharap supaya penularan wabak COVID-19 dapat ditangani segera sekali gus memulihkan kembali industri pelancongan di negara ini.
#cabaran pemandu teksi #COVID19 #koronavirus #pelancongan #pemandu teksi #pendapatan pemandu teksi
;