#SemakFakta: Tiada jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia
Astro Awani
September 24, 2020 13:44 MYT
September 24, 2020 13:44 MYT
Markas Angkatan Tentera Malaysia menafikan bahawa terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga ATM ketika proses pengundian awal baru-baru ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, Bahagian Hal Ehwal Awam-J7 Markas ATM memaklumkan bahawa maklumat yang tular di media sosial sebelum ini adalah tidak benar.
"Maklumat itu boleh menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan masyarakat serta mengganggu proses Pilihan Raya Negeri Sabah.
"Ditegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat," jelas kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, tular di media sosial bahawa terdapat jangkitan COVID-19 di kalangan warga ATM setelah mencelup jari dengan dakwat semasa proses mengundi awal sempena PRN Sabah pada 22 September 2020.