Semakan undang-undang masih berjalan, kata Peguam Negara

Teoh El Sen
April 4, 2013 07:18 MYT
Semakan ke atas beberapa undang-undang kontroversi yang terlibat dalam pelan transformasi politik yang digagaskan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih diteruskan.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, semakan itu termasuk bagi meneliti apakah undang-undang berkenaan termasuk undang-undang lain yang berkaitan perlu dipinda, dimansuhkan atau digantikan dengan undang-undang yang baru.
"[Selain menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)] masih ada banyak lagi. Empat atau lima," kata Abdul Gani dalam satu pertemuan dengan Astro Awani.
Menurut beliau, kajian ke atas undang-undang itu ditangguhkan buat masa ini kerana Parlimen tidak bersidang.
"Akta Hasutan, PPPA (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan), OSA (Akta Rahsia Rasmi) termasuk, kita perlu teliti semula.
"Kita bukan bercakap mengenai menghapuskan undang-undang itu (tetapi) mengkajinya semula. Selepas itu, kita perlu lihat kepada peraturan. Proses itu berterusan," jelas beliau.
Tambahnya, usaha pembaharuan undang-undang itu akan ditimbang selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Mengenai perubahan yang akan dilakukan, Abdul Gani berkata, ia bergantung kepada penyelidikan serta rundingan yang dijalankan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan.
"Kalau kita hanya perlu buat pindaan, kita buat pindaan. Kalau perlu mansuh, kita mansuh. Kalau perlu undang-undang ganti, kita akan gubal yang baru," katanya.
Perdana Menteri dalam ucapannya sempena Hari Malaysia dua tahun lalu mengumumkan beberapa pembaharuan undang-undang ke arah menjadi negara ini lebih terbuka dan demokratik.
Tiga proklamasi Darurat kemudian dimansuhkan yang membawa kepada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Buang Daerah dan Akta Kediaman Terhad.
ISA kemudian digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dipinda menjadikan lesen media cetak tidak lagi perlu diperbaharui setiap tahun. Akta Perhimpunan Aman juga diperkenalkan.
Najib juga mengumumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan untuk memberikan hak kebebasan bersuara yang lebih luas. Ia akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.
#Abdul Gani Patail #Peguam Negara #PRU-13 #PRU13 #transformasi #undang-undang
;