Semakan tawaran ke sekolah khusus mulai 15 Mac

Bernama
Mac 10, 2022 18:15 MYT
Radzi berkata tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus Tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata tawaran kemasukan ke Sekolah Khusus itu melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.
"Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke Tingkatan Empat serta Tahun 1 SVM," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Radzi, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian.
Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu Tingkatan Empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.
"Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu Tingkatan Empat dan Tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April manakala pendaftaran bagi murid baharu Tingkatan Empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my," kata Radzi.
-- BERNAMA
#semakan #tawaran ke sekolah khusus #vokasional #Maktab Tentera Diraja #Sekolah Menengah Teknik #sekolah berasrama penuh #Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
;