Semakan, pemarkahan kertas peperiksaan utama 2021 dilakukan dalam talian - Lembaga Peperiksaan
Hasimi Muhamad
Disember 30, 2020 21:56 MYT
Disember 30, 2020 21:56 MYT
KUALA LUMPUR: Proses semakan dan pemarkahan sebahagian kertas ujian peperiksaan utama tidak lagi dibuat secara manual, sebaliknya dilakukan dalam talian.
Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata pihaknya telah membangunkan sistem teknologi yang terbukti selamat untuk tujuan itu.
Ia sekali gus, dapat memastikan keselamatan guru dan mengelakkan mereka menghadiri mesyuarat secara fizikal ketika pandemik COVID-19 masih menular dalam negara, tambahnya.
"Insya-Allah faktor keselamatan semua dah kaji, jadi mereka boleh 'marking' dalam talian.
"(Kertas peperiksaan) akan ada di 'Cloud', bukan di dalam gajet. Jadi, apabila (para guru atau pemeriksa) log off, semua itu berada dalam keadaan selamat.
"Kita telah uji, kita buat ketika pemeriksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM); dan peperiksaan ulangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)... 100 peratus secara dalam talian.
"Para guru tanda sahaja markah itu, dan ia akan masuk dalam simpanan dan penjumlahan markah dilakukan secara terus. Ia tidak perlu dipindahkan ke dalam sistem sebab ia sudah ada dalam sistem," katanya ketika temu bual dalam program Agenda AWANI, di sini pada Rabu malam.
Katanya lagi, kaedah dalam talian itu juga dapat mengurangkan ralat ketika proses pemarkahan.
Beliau dalam pada itu turut mengulangi tarikh peperiksaan utama yang ditunda akan diadakan selama 17 hari bermula 22 Februari hingga 25 Mac tahun depan.
Ia melibatkan peperiksaan SPM; Sijil Vokasional Malaysia (SVM); Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Beliau memberi jaminan bahawa aspek keselamatan para pelajar ketika menghadiri peperiksaan sentiasa diutamakan.
"Jadi, Insya-Allah garis panduan sudah ada, kalau ia berjalan dengan baik kita ada tempoh yang panjang untuk peperiksaan daripada 22 Februari sehingga 25 Mac (tahun depan).
Pkharuddin berkata, pihaknya juga bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya peperiksaan itu terpaksa ditangguhkan sekali lagi susulan pandemik COVID-19.
Ujarnya, jika terpaksa ditangguhkan, ia kemungkinan hanya akan dilaksanakan di kawasan yang terjejas sahaja.
"Kalau ada mungkin sebahagian tidak dapat menduduki peperiksaan itu, dan Insya-Allah kita bersedia mencari kaedah untuk menguruskan yang sebahagian itu.
"Sebab kita ada beberapa pilihan, ada mata pelajaran itu mempunyai calon 400,000, dan calon 1,000 lebih atau beberapa ribu sahaja.
"Jadi, sekiranya keadaan agak tidak memihak kepada kita, kita cuba fikir beberapa pilihan dan kita cuba atasi demi memberikan keadilan.
"Insya-Allah kalau terpaksa tangguh, mungkin (tidak) sepenuhnya, ada sebahagian dan sebahagian (lagi) kita boleh laksana," katanya.
Sebelum ini, KPM terpaksa menangguhkan peperiksaan utama termasuk SPM, SVM, STAM yang dijadual semula bermula pada 22 Februari 2021, manakala, peperiksaan STPM pula (8 Mac 2021).
#Sijil Pelajaran Malaysia
#Agenda Awani
#peperiksaan
#COVID-19
#Malaysia
#Kementerian Pendidikan
#pandemik