Semakan kes Batu Puteh: Tun Mahathir enggan beri kerjasama selagi Apandi kekal pengerusi

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 28, 2022 13:10 MYT
Ketika ditemui media, Dr Mahathir berkata beliau tegas dengan pendirian untuk tidak akan memberikan sebarang kerjasama sehingga Mohamed Apandi diganti. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Sesi temu bual membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara (JPN), di sini hari ini tidak berlangsung seperti dirancang.
Ia berikutan Dr Mahathir mempertikaikan kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali selaku pengerusi jawatankuasa terbabit yang disifatkannya tidak wajar.
Jawatankuasa itu dibentuk bagi membuat semakan semula undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Rasa tidak puas hati itu juga menyaksikan Dr Mahathir yang tiba kira-kira jam 11.40 pagi keluar meninggalkan perkarangan JPN dalam tempoh tidak sampai 15 minit.
Ketika ditemui media, Dr Mahathir berkata beliau tegas dengan pendirian untuk tidak akan memberikan sebarang kerjasama sehingga Mohamed Apandi diganti.
"Apandi adalah individu yang terlibat dalam kes ini dan dia tidak patut dilantik sebagai pengerusi.
"Dia sepatutnya lebih layak menjadi saksi tetapi telah dilantik sebagai pengerusi. Ia adalah sesuatu yang mengarut," katanya.
[TERKINI] Semakan undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah
Jelasnya surat untuk memohon penukaran kedudukan Apandi sebelum ini telahpun dihantar namun katanya tiada sebarang jawapan.
Perkara itu menurutnya penting kerana kedudukan Mohamed Apandi pada kerusi tersebut lebih cenderung menimbulkan konflik kepentingan tertentu.
BACA: Kehilangan Pulau Batu Puteh kesilapan kerajaan Johor - Dr Mahathir
BACA: Pengkhianat Pulau Batu Puteh wajar dikenakan tindakan undang-undang - Onn Hafiz
Dalam masa yang sama katanya siapa sahaja layak untuk dilantik menggantikan Mohamed Apandi selagi ia mampu memberikan ketelusan dan jaminan keadilan.
Kebelakangan ini pelbagai pihak tampil menempelak kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir yang mendakwa kehilangan Pulau Batu Puteh adalah atas kesilapan kerajaan negeri Johor sendiri.
Mohamed Apandi pada Julai 2021, dilapor berkata, Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Dr Mahathir membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.
Katanya, Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri ketujuh, membuat keputusan berkenaan beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.
Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.
#Tun Mahathir #Mohamed Apandi Ali #Batu Puteh #Mahathir Mohamad
;