Semak SOP untuk situasi krisis luar jangka, tambah alternatif sumber air baharu

Bernama
Ogos 12, 2021 11:48 MYT
Terengganu adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber air dan jarang mengalami krisis air seperti yang sedang dialami. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) disaran menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk menangani sebarang krisis gangguan bekalan air luar jangka, seperti yang sedang berlaku ketika ini.
Timbalan Dekan Akademik Siswazah, Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Madya Dr Mohd Khairul Amri Kamarudin berkata SOP itu akan membolehkan SATU bertindak dengan lebih teratur dan menggunakan semua alternatif yang ada untuk membekalkan air bersih kepada penduduk di kawasan terjejas.
Menurutnya Terengganu adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber air dan jarang mengalami krisis air seperti yang sedang dialami, namun tempoh baik pulih yang berlanjutan begitu lama dengan jangkaan tarikh pulih terpaksa dianjak sebanyak tiga kali menunjukkan wujudnya kelemahan pada SOP sedia ada.
"Justeru, bagi mengelak krisis gangguan bekalan air seumpama ini berulang lagi pada masa akan datang, SOP luar jangka perlu disemak semula dan pengurusan sumber air alternatif perlu dimanfaatkan dengan lebih lestari," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
BACA: Gangguan bekalan air berlanjutan, dijangka pulih Sabtu ini
BACA: Gangguan bekalan air di Kuala Nerus, Kuala Terengganu pulih tiga atau empat hari lagi
Gangguan bekalan air yang bermula sejak 2 Ogos lepas membabitkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, yang dijangka pulih secara berperingkat pada Sabtu ini, dan gangguan bekalan kali ini dikatakan yang terburuk pernah berlaku di Terengganu.
Mohd Khairul berkata pengagihan bekalan air bersih yang masih tidak mencukupi dan wujudnya situasi penduduk terpaksa beramai-ramai mengambil sumber air di satu-satu tempat adalah amat membimbangkan kerana penularan COVID-19 masih tinggi ketika ini.
"Alternatif pengagihan air kepada penduduk terjejas antaranya adalah seperti membuat 'bypass' sementara bagi paip air yang pecah. Sememangnya ia agak sukar dibuat kerana tekanan air yang tinggi, namun dengan peralatan yang berkualiti dan bersifat sementara, langkah ini dapat membekalkan air sepanjang proses baik pulih dijalankan.
"Terengganu mempunyai sumber air bawah tanah yang amat besar dan masih minima penggunaannya. Walaupun air bawah tanah dapat memberi kesan seperti penenggelaman tanah, penurunan paras air, kadar aliran masuk (recharge rate) dan beberapa kesan lain, namun penggunaan dengan skala kecil ketika berlaku krisis luar jangka ini hanya memberi impak yang amat minima.
"Dengan ini, bekalan air dapat dikembalikan seperti biasa walaupun proses baik pulih kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu itu masih sedang dijalankan," katanya.
BACA: Bekalan air percuma selama dua bulan kepada penduduk terjejas - Ahmad Samsuri
Tambahnya, selain air bawah tanah, Terengganu juga menerima curahan hujan tahunan yang lebih banyak berbanding negeri lain dan ia harus dimanfaatkan sebagai sumber pengurusan air yang baharu.
"Pengurusan sumber air alternatif ini juga adalah penting untuk Terengganu membuat persiapan menghadapi kemarau panjang yang serius kesan daripada fenomena El Nino seperti yang diramalkan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) berlaku antara tahun 2025 hingga 2030 nanti," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Khairul Amri Kamarudin #Syarikat Air Terengganu #bekalan air #SATU #SOP #krisis luar jangka #alternatif #sumber air #Kuala Terengganu #El Nino #COVID-19 #terengganu #air bersih #baik pulih
;