Semak semula tatacara pelaksanaan Pilihan Raya Kampus
Astro Awani
September 15, 2018 12:24 MYT
September 15, 2018 12:24 MYT
Pelaksanaan Pilihan Raya Kampus (PRK) di Universiti Awam (UA) perlu disemak semula bagi membolehkan pengendalian secara telus dan bebas oleh pelajar.
Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan media pada Sabtu memberitahu keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Penyelarasan PRK antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pegawai Undang-undang UA yang dipengerusikan oleh Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.
"Kebebasan pelaksanaan PRK ini menjadi medan latihan untuk pelajar menentukan pemimpin yang akan memperjuangkan hak dan hasrat mereka.
"Sebagaimana UA mengamalkan konsep autonomi, KPM juga mencadangkan agar pelajar diberikan kuasa dalam menentukan hala tuju mereka.
"Namun, pelaksanaan ini perlulah mematuhi perlembagaan, peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya.
Tambah beliau, perubahan yang perlu boleh dilakukan mengikut UA kepada peraturan dan prosedur sedia ada selaras dengan inisiatif untuk mengadakan PRK yang bebas, adil dan terbuka.
"Beberapa UA turut menyatakan kesediaan untuk membenarkan pelaksanaan PRK oleh pelajar mulai tahun ini," tambahnya.
Pihak pengurusan UA juga disarankan agar turut membantu dalam penyediaan prasarana serta bimbingan bagi menjayakan pelaksanaan PRK berkenaan.
Kementerian Pendidikan yakin pembaharuan ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya generasi pelapis kepemimpinan negara.