Semak sebelum sebar maklumat - Fahmi Fadzil
Faida Rahim
April 14, 2023 23:11 MYT
April 14, 2023 23:11 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna diingatkan agar menyemak setiap maklumat yang diterima sebelum menyebarkan ke platform media sosial masing-masing.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan usaha ini bagi membanteras penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Sekiranya anda mendapat apa-apa maklumat, semak dulu supaya kita tidak menjadi penerus kepada maklumat yang palsu, maklumat yang salah, maklumat yang fitnah.
“Kita berhati-hati kalau kita menerima, menyampai dan menyebar maklumat kerana itu seakan menyambung masalah.
"Janganlah kita menyambung masalah, tapi (sebaliknya) kita selesaikan,” katanya ketika berucap di Program Cahaya Ramadan bersama Gardenia di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, Fahmi juga menyeru rakyat agar bersabar dan menunggu pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan bukan merujuk kepada maklumat diterima di media sosial.
“Bukan merujuk maklumat dari WhatsApp, TikTok, Facebook atau jiran tetapi rujuk pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 8 malam, Khamis minggu depan Insha Allah,” katanya lagi.