Semak JTK sebelum setuju terima tawaran kerja luar negara - Mustapha

Bernama
Februari 10, 2023 17:35 MYT
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Media Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) 2022 hari ini. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Orang ramai diingatkan supaya membuat semakan menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia terlebih dahulu sebelum bersetuju menerima tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di luar negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata langkah itu penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan ejen selain tidak terjebak dengan gejala pemerdagangan manusia.
"Ada pihak mengambil kesempatan kepada generasi muda menawarkan mereka pekerjaan tetapi akhirnya berlaku proses pemerdagangan manusia. Saya berharap ibu bapa dan semua pihak berhati-hati dengan ejen pencari kerja terutamanya penawaran kerja di luar negara.
Pastikan buat semakan dan hubungi JTK, kementerian atau pihak berkaitan untuk mengesahkan ejen pencari kerja kerana kita risau mereka menipu dan akhirnya anak-anak kita yang akan menjadi mangsa," katanya pada sidang media selepas melawat kilang syarikat peranti penjagaan mata Ciba Vision Johor Sdn Bhd di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata semua majikan perlu memastikan tempat penginapan pekerja sentiasa dalam keadaan selesa demi menjaga kebajikan pekerja sekali gus mengelakkan perkara yang tidak diingini dan membahayakan daripada berlaku.
Beliau berkata majikan perlu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas sekiranya enggan mematuhi syarat tersebut.
"Dalam operasi dilakukan JTK di Kluang baru-baru ini, kita sedih apabila mendapat maklumat pekerja sebuah kilang kayu diletakkan dalam penginapan tidak sempurna iaitu bilik sempit dengan katil tanpa tilam, siling hanya menggunakan kotak dan kotor.
JTK akan membuat serbuan dan operasi mengejut terhadap kilang-kilang dan majikan bagi memastikan majikan tidak menganiaya pekerja mereka," katanya sambil menambah menerusi intipan dan maklumat diperoleh, kebanyakan pekerja yang ditindas adalah pekerja asing berbanding pekerja tempatan yang dianiaya biasanya akan membuat aduan ke JTK.
Berhubung permohonan kemasukan pekerja asing ke negara ini menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, Mustapha berkata inisiatif itu dijangka mampu mengatasi isu monopoli ejen serta sindiket negara sumber yang meraih keuntungan melampau.
Katanya langkah itu juga dijangka akan mengurangkan birokrasi pengambilan pekerja yang sebelum ini menyebabkan banyak permohonan mengambil masa yang lama untuk diluluskan.
Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Jan lepas bersetuju mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja, selain melaksanakan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
-- BERNAMA
#JTK #tawaran kerja luar negara #Kementerian Sumber Manusia #Mustapha Sakmud
;