Semak harga barangan di lokaliti tertentu guna aplikasi KitaJaga - Rafizi
Fareez Azman
Mac 27, 2023 15:26 MYT
Mac 27, 2023 15:26 MYT
PUTRAJAYA: Rakyat boleh menyemak harga barangan harian di lokaliti tertentu menerusi aplikasi penyemakan harga barangan KitaJaga mulai hari ini.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, aplikasi terbabit dibangunkan dengan kerjasama organisasi KitaJaga menggunakan data terbuka di laman web OpenDOSM.
"Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi seperti DOSM akan terus bekerjasama selepas ini dengan platform e-dagang lain untuk mengembangkan potensi pemantauan harga supaya rakyat boleh biasakan diri dengan proses membandingkan harga dan membuat pilihan mengikut data harga menyeluruh.
"Sebenarnya data harga ini ada lama, tapi tidak digunakan meluas. Sekarang data harga yang ada platform pertama digunakan KitaJaga," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) di Putrajaya pada Isnin.
Ujar Rafizi lagi, konsep asas menerusi inisiatif itu bagi membolehkan rakyat membeli dengan bijak menreusi perbandingan harga menggunakan telefon bimbit.
Tambahnya, Kementerian Ekonomi terus bertekad untuk memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan dengan membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara.
"Kita juga dalam rundingan platform lain turut sama membina ciri-ciri sebegini membolehkan orang ramai mengetahui paras harga di kawasan masing-masing," jelasnya lagi.