Semak Fakta: GiatMara nafi keluar arahan kumpul data berkaitan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi

Najmi Syahiran Mamat
April 22, 2020 22:20 MYT
Penafian Giatmara Sdn Bhd dibuat pada Rabu menerusi kenyataan KKMM. - Gambar Instagram @kkmm_gov
Giatmara Sdn Bhd (GiatMara) menafikan dakwaan terdapat arahan dari pihak pengurusan GiatMara untuk mengumpul data usahawan-usahawan yang tidak menerima sebarang bantuan dari Pakej Rangsangan Ekonomi di setiap negeri.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada Rabu, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk merujuk laman rasmi mygiatmara.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk laman rasmi mygiatmara atau emel info@giatmara.edu.my atau menghubungi ibu pejabat GiatMara di talian 019-265 0478, 017-369 8088 dan 017-401 5991,” katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut, Yayasan Sabah Group (YSG) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan memohon Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK untuk menyenaraikan data pihak terbabit berhubung bantuan PBN B40 dan e-kasih.
“YSG tidak pernah mengeluarkan kenyataan memohon Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK untuk menyenaraikan data ibu tunggal, balu, janda, duda, miskin, miskin tegar, anak yatim, warga emas, OKU dan yang tidak tersenarai menerima bantuan PBN B40 dan e-kasih.
YSG juga menjelaskan bahawa pihaknya tidak mengemukakan maklumat berkaitan ke pejabat Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) untuk tujuan penyaluran bantuan COVID-19.
#COVID19 #GIATMARA #koronavirus #pakej rangsangan ekonomi #PBN B40 #PKP #Semak Fakta #SemakFakta #Yayasan Sabah Group
;