Semak Fakta: Emel guna nama Tunku Temenggong Kedah disalah guna untuk penipuan

Najmi Syahiran Mamat
Mac 20, 2020 10:52 MYT
Tunku Puteri Intan Safinaz menafikan terdapat dua mesej melalui penghantaran emel yang menggunakan nama beliau. - Gambar Instagram @tunkuputeri
Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah mendedahkan nama beliau disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdayakan masyarakat melalui penghantaran e-mel tertentu.
Difahamkan, kandungan e-mel terbabit menggunakan nama dan jawatan beliau sebagai Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).
“Amaran. Ini adalah permintaan yang palsu. Sila ambil maklum,” tulis beliau di entri Instagram pada Khamis.
Menerusi gambar tangkap skrin yang dikongsi Tunku Puteri Intan Safinaz di laman Instagram rasminya, e-mel pertama membabitkan permintaan oleh penghantar e-mel itu untuk mewakili pihaknya menghadiri sesuatu acara.
“Helo adakah anda ada masa luang? Saya memerlukan anda untuk mewakili saya menghadiri sesuatu acara dengan segera,” tulis e-mel palsu itu.
Dalam pada itu, e-mel kedua pula berhubung permintaan penghantar untuk memindahkan sejumlah wang kepada nombor akaun bank yang kononnya bertujuan untuk membantu program anjuran BSMM dalam menyediakan ‘kit keselamatan’ pandemik COVID-19.
#berita palsu #COVID19 #emel palsu #fact check #koronavirus #Semak Fakta #SemakFakta #Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam S #Tunku Temenggong Kedah
;