Semak Fakta: Berita perkhidmatan klinikal HRPZII Kota Bharu lumpuh tidak benar
Astro Awani
Mac 22, 2020 19:26 MYT
Mac 22, 2020 19:26 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menyatakan bahawa berita mengenai perkhidmatan klinikal Jabatan Anestesiologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu lumpuh dan diisytiharkan red flag adalah palsu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin dalam kenyataan pada Ahad memberitahu, perkhidmatan klinikal di bawah Jabatan Anestesiologi masih berjalan selaras dengan arahan KKM dan kawalan pergerakan oleh Kerajaan Malaysia bagi membendung penularan jaringan transmisi COVID-19.
"Keutamaan perkhidmatan klinikal Jabatan Anestesiologi ditumpukan kepada perkhidmatan rawatan rapi (ICU) dan pembedahan kecemasan.
"Dalam masa yang sama, pihak HRPZII berkolaborasi bersama pihak Hospital USM Kubang Kerian bagi melicinkan pengurusan klinikal pesakit yang memerlukan," katanya
Beliau turut mengesahkan bahawa berita kematian pakar ICU HRPZII yang dikatakan mendapat jangkitan COVID -19 seperti yang ditularkan adalah palsu.
"Semua pakar dan pegawai perubatan Jabatan Anestesiologi yang merawat pesakit COVID-19 di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu telah dibekalkan dengan alatan PPE termasuk PAPR yang baharu dan berfungsi.
"Mereka juga telah mendapat latihan penggunaan PPE dan PAPR secukupnya," katanya lagi.
#Hospital Raja Perempuan Zainab II
#Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan
#Kota Bharu
#Semak Fakta
#SemakFakta