Semak buku teks sejarah, masukkan Hari Kemerdekaan Sarawak
Bernama
Julai 22, 2015 08:07 MYT
Julai 22, 2015 08:07 MYT
Tarikh Sarawak mendapat kemerdekaan daripada Britain pada 22 Julai 1963 perlu dimasukkan dalam buku teks sejarah bagi membolehkan pemahaman menyeluruh sejarah negeri ini.
Anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata tarikh itu adalah fakta sejarah - bila Sarawak mendapat taraf pemerintahan sendiri - dan ini wajar diketahui dan disedari oleh generasi sekarang.
"Namun, tarikh itu adalah untuk peringatan semata-mata demi memahami sejarah negeri ini," kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.
Namun, Tiong berkata jika terlalu banyak penekanan mengenai kemerdekaan Sarawak, ia boleh menjejas ikatan akrab antara Sarawak dengan Semenanjung.
Beliau mengulangi kenyataan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman bahawa "bila wilayah Borneo menjadi sebahagian daripada Malaysia, mereka tidak lagi menjadi tanah jajahan Britain dan tidak juga tanah jajahan Malaysia - saya kira, saya telah jelaskan - bahawa mereka menjadi rakan sama taraf".
Tiong berkata, sebagai rakyat Sarawak beliau bersetuju rakyat negeri itu harus memperjuangkan lebih banyak hak untuk Sarawak.
Misalnya, menuntut agar rakyat Sarawak diberikan peluang memegang jawatan penting menteri di peringkat persekutuan seperti di Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan lebih banyak peluang untuk rakyat negeri berkenaan memain peranan penting dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau menasihatkan rakyat Sarawak agar menolak sebarang gerakan atau pertubuhan yang mahukan Sarawak keluar dari Malaysia kerana ini boleh mengkibatkan kesan serius, terutama terhadap perpaduan nasional.