Semai semangat perpaduan melalui Program Jom Tengok Bola
Eton Khir
Jun 14, 2022 06:30 MYT
Jun 14, 2022 06:30 MYT
PUTRAJAYA: Menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat menerusi sukan antara matlamat dalam Program Jom Tengok Bola Harimau Malaya menentang Bangladesh di Dataran Putrajaya, Presint 3, pada Selasa.
Siaran langsung perlawanan itu dihadiri lebih 1,000 peminat bola sepak yang menyaksikan kemenangan memihak kepada Malaysia 4-1.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Malaysia ke Piala Asia 2023 setelah 43 tahun tidak beraksi di acara sukan berprestij itu.
Bagi peminat bola sepak, Muhammad Zharif Mohd Azmi, 34, dia berasa bangga dengan kemenangan Malaysia meskipun ia sebenarnaya sudah dijangka.
“Semestinya saya berasa gembira dengan kemenangan Malaysia 4-1 ini. Kita sudah boleh jangka kemenangan ini cuma jangan terlalu yakin.
"Alhamdulillah, Malaysia sudah menang,” katanya kepada Astro AWANI.
Muhammad Mustaqim Muzaffar, 26, pula berpendapat inisiatif ini wajar dikembangkan ke sukan-sukan lain selain bola sepak.
“Memang patut diteruskan, sebab rakyat Malaysia dapat berkumpul ramai-ramai jadi kemeriahan itu dapat dirasai seperti di stadium.
"Saya berpendapat program seperti ini patut diadakan bukan sekadar untuk sukan bola sepak sahaja tetapi juga sukan-sukan lain,” katanya.
Nurul Khaleeda Rashikin, 30, pekerja swasta, berkata dia teruja dengan kemenangan yang diraih Malaysia dan berharap program seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang.
“Saya sangat bangga dan gembira dengan kemenangan Malaysia ini; kiranya ia berjaya menebus kekalahan Malaysia melawan Bahrain tempoh hari.
"Saya juga sangat menyokong penuh sekiranya program seperti ini diteruskan kerana selepas 2 tahun kita duduk di rumah, kita dapat lihat semangat perpaduan melalui program ini.
"Kiranya objektif program ini tercapailah,” katanya.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah dan cabaran timbang bola.