Semai pemikiran negatif, Teresa bidas sekolah antarabangsa

Harits Asyraf Hasnan
Julai 2, 2019 17:00 MYT
Teresa Kok bidas tindakan segelintir warga pendidik yang tidak bertanggungjawab menyalurkan mesej yang bertentangan dengan usaha kerajaan memulihkan industri sawit di rantau ini. - Gambar fail
Menteri Industri Utama, Teresa Kok membidas tindakan warga pendidik yang menyemai pemikiran negatif terhadap industri sawit negara.
Ia susulan tindakan sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara menerusi persembahan dalam kalangan murid yang mempamerkan industri kelapa sawit negara menjadi punca penyahhutanan dan kepupusan orang utan di negara ini.
Jelasnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu sama sekali bertentangan dengan usaha kerajaan memulihkan industri sawit di rantau ini.
“Saya nak seru sekolah antarabangsa itu hentikan kesemua tindakan yang menyemai fikiran yang benci minyak sawit seperti apa dilakukan di Eropah itu di negara kita ini.
“Saya nak seru pihak guru besar dan guru terlibat datang ke kementerian saya, datang ke Majlis Minyak Kelapa Sawit (MPOC) untuk memahami ke semua usaha penambahbaikan industri minyak sawit,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Beliau sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Penanaman Satu Juta Pokok Hutan di Sabah antara MPOC dan Jabatan Perhutanan Sabah di Parlimen.
Justeru, beliau menggesa para pendidik untuk bersama menyokong usaha kerajaan memacu kembali industri sawit negara.
#kelapa sawit #sekolah antarabangsa #Teresa Kok
;