SelVAX: 2.5 juta dos vaksin tambahan, Selangor sasar imuniti kelompok menjelang Oktober - MB

Harits Asyraf Hasnan
Jun 30, 2021 16:23 MYT
Kerajaan Negeri Selangor, kata Amirudin, mensasarkan sehingga 181,000 dos bagi penerima SelVAX Komuniti secara percuma menjelang akhir bulan Julai 2021. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selangor bakal menerima 2.5 juta dos vaksin COVID-19 buatan Sinovac yang bakal memberi manfaat kepada 1.25 juta orang penerima.
Ia sekali gus meningkatkan kadar vaksin harian dengan sasaran 80 peratus dewasa di Selangor telah divaksin menjelang Oktober ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, insiatif yang dinamakan Program Vaksin Selangor (SelVAX) itu hasil pemeteraian perjanjian Pembekalan dan Pengedaran (SDA) antara Pharmaniaga Berhad dengan Selgate Healthcare.
"Serampang dua mata ini bakal memelihara kesihatan rakyat terbanyak dan pekerja industri termasuk kilang dan pejabat.
"Antara sasarannya adalah melindungi golongan warga emas, kumpulan B40, di kalangan penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat dan kategori lain yang akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan," katanya ketika mengumumkan program itu pada Rabu.
Jelasnya, mengikut kadar sedia ada, dianggarkan proses vaksinasi hanya akan berakhir seawal Disember 2021 dengan sebahagian rakyat hanya lengkap mendapat dua dos vaksin pada 8 Februari 2022.
Menerusi Program Vaksin Selangor, Amirudin berkata, Selangor mensasarkan tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih daripada 22 pusat pemberian vaksin (PPV), dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik dan hospital swasta.
"Usaha ini dijangkakan menambah kapasiti harian vaksinasi dan mampu memendekkan jangka waktu yang signifikan sekitar 100 hari lebih awal dengan sasaran vaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa di Selangor selesai pada Oktober 2021.
"Ini memenuhi jangkaan yang disebut oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mencapai masing-masing 135,000 dos vaksin menjelang Julai dan 165,000 dos vaksin harian menjelang Ogos.
"Dengan itu, kerajaan negeri mensasarkan sehingga 181,000 dos bagi penerima SelVAX Komuniti secara percuma menjelang akhir bulan Julai 2021," katanya.
Mengulas berkenaan SelVAX Industri, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut menyediakan dua juta dos vaksin bersamaan 1 juta pekerja, termasuk tenaga kerja asing.
Katanya, dengan memberikan vaksin kepada pekerja kilang dan industri, ia dapat mengawal serta mengurangkan kadar perebakan COVID-19 dan secara tidak langsung akan melindungi semua.
"Alhamdulillah, usaha SelVAX Industri melengkapkan inisiatif PICK di peringkat Pusat mendapat sambutan yang memberangsangkan.
"Antara syarikat-syarikat besar yang telah menyertai program kita adalah rangkaian pasaraya terbesar 99 Speed Mart, firma audit utama Ernst & Young, GLC gergasi seperti Telekom Malaysia serta Touch n Go, juga syarikat binaan terkemuka seperti EcoWorld dan Tropicana.
"Penting untuk dinyatakan di sini, syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka.
"Ini telah termaktub dalam perjanjian dan borang kebenaran. Tindakan undang-undang boleh diambil kepada para majikan yang mengenakan caj caj bayaran kepada para pekerja," tegasnya.
Justeru, katanya lima PPV Mega, enam PPV Dewan Komuniti dan 15 Klinik Selcare yang akan melibatkan sekitar 5,000 tenaga kerja perubatan dan bukan perubatan dengan sejumlah 1,228 klinik panel akan digerakkan bagi melengkapkan usaha imunisasi di Selangor.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #PICK #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #Amirudin Shari #pekerja asing #warga emas #vaksin #SelVAX #Selangor Vaksin #Vaksin Selangor
;