Seludup warga Bangladesh, TPM sahkan dua pegawai Jabatan Imigresen ditahan

Bernama
Disember 14, 2017 16:04 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan setakat ini dua pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan bertugas di bahagian kaunter KLIA. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan dua pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan berhubung kes penyeludupan warganegara Bangladesh.
Beliau berkata, pegawai terlibat bertugas di bahagian kaunter KLIA.
"Ada beberapa orang pegawai Jabatan Imigresen disyaki turut terlibat dan siasatan masih dijalankan.
"Setakat ini, dua pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan bertugas di bahagian kaunter KLIA," katanya pada sidang media sempena lawatan kerjanya di Batalion 17 Pasukan Gerakan Am Lahad Datu di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tangkapan pegawai Jabatan Imigresen kerana disyaki terlibat dengan penyeludupan warganegara Bangladesh di KLIA.
TONTON: Pekerja asing bolos, Jabatan Imigresen tahan pegawai di KLIA
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali supaya mengetatkan kawalan di pusat pemeriksaan terutamanya di KLIA.
"Kita juga akan menambah pegawai Jabatan Imigresen di KLIA," katanya.
-- BERNAMA
#Bangladesh #KLIA #Lahad Datu #Menteri Dalam Negeri #Mustafar Ali #Seludup warga Bangladesh #Timbalan Perdana Menteri #TPM #Zahid Hamidi
;