Seludup migran, operator sampan dituduh di mahkamah

Astro Awani
Januari 4, 2022 15:03 MYT
Seorang operator sampan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam penyeludupan dua migran warga Myanmar di Kuala Perlis pada Disember lalu. - Gambar Astro AWANI
KANGAR: Seorang operator sampan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam penyeludupan dua migran warga Myanmar di Kuala Perlis pada Disember lalu.
Tertuduh, Mahmud Sulaiman, 51, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mahmud sebagai operator sebuah sampan tanpa pendaftaran didapati terbabit dalam penyeludupan migran warga Myanmar iaitu Wey Yan, 15, dan kakaknya, Pan Par, 20 di perairan Sungai Kuala Perlis, sekitar jam 9.20 malam, 24 Disember tahun lalu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakan perintah lucut hak terhadap sampan tanpa nombor pendaftarannya bersama enjin model Suzuki.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Shaqira Ibrahim.
Mahkamah menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam kes berkaitan juga, mahkamah menangguhkan pertuduhan terhadap dua beradik pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke 3 Februari ini.
Penangguhan itu bertujuan untuk memberi masa kepada mahkamah untuk melantik seorang jurubahasa Myanmar sebagai penterjemah kepada tertuduh.
Ketika prosiding mahkamah, tiada pertuduhan dibacakan kepada tertuduh, Wey Yan dan Pan Par.
Kedua-duanya juga tidak diwakili peguam.
#seludup migran #operator sampan #Mahkamah Sesyen Kangar #migran warga Myanmar
;