Seludup mercun, bunga api: Empat warga Malaysia ditahan di Nunukan, Indonesia

Ridzal Abdullah
Mei 9, 2022 18:11 MYT
Semua barangan berkenaan terus dirampas dan keempat-empat suspek juga ditahan untuk membantu siasatan lanjut. - Kaltara.prokal.co
NUNUKAN: Empat individu warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa di daerah Nunukan, Indonesia, selepas dikesan cuba berurus niaga dan masuk ke negara jiran berkenaan secara haram pada Khamis lalu.
Memetik laporan media Indonesia hari ini, Kaltara.prokal.co @ Radar Tarakan mengesahkan, empat individu yang ditahan membabitkan dua remaja berusia di bawah 18 tahun bersama seorang lelaki serta wanita berusia 27 dan 30 tahun.
Komandan Pasukan Keselamatan Perbatasan, Batalion Artileri Medan 18/Komposit Buritkang, Leftenan Kolonel Yudhi Ari Irawan berkata, kesemua suspek berjaya ditahan hasil maklumat yang diterima daripada pasukan siasatan berhubung pencerobohan di Patok 7 Wilayah Sungai Limau, Sebatik Tengah.
Katanya, semua keempat-empat suspek ditahan ketika membawa karung berisi bunga api dan mercun yang dipercayai dibawa masuk secara haram.
Menurutnya, suspek mendakwa tidak mengetahui kandungan karung yang dibawa dan tidak mengenali mana-mana individu yang sepatutnya mengambil bungkusan berkenaan.
“Suspek mengaku diarahkan untuk membawa bungkusan berkenaan dan akan diterima oleh individu di daerah ini,” katanya.
Menurut laporan itu, tiada sebarang dokumentasi yang ditemui membabitkan semua barangan berkenaan.
Katanya, semua barangan berkenaan terus dirampas dan keempat-empat suspek juga ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
#seludup #mercun #Nunukan #rakyat Malaysia
;