Seludup lembu lepas waktu sahur

Sinar Harian
April 28, 2021 14:24 MYT
Lapan ekor lembu yang cuba diseludup masuk selepas waktu sahur yang berjaya dirampas PGA Batalion 7 Kuantan di Kampung Tok Rusa, Meranti, Rantau Panjang pada Rabu. -Foto Sinar Harian
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan mematahkan cubaan menyeludup lapan ekor lembu selepas waktu sahur apabila berjaya menahan sebuah lori di Kampung Tok Rusa, Meranti di sini pada Rabu.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata rampasan lembu bernilai RM51,660 itu dilakukan pada jam 6.45 pagi semasa anggota keselamatan terbabit melakukan rondaan rutin Op Benteng COVID-19 di kawasan penugasan.
"Sejurus terserempak dengan lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan itu, anggota PGA telah mengarahkan pemandunya untuk segera memberhentikan kenderaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori itu kemudiannya membawa kepada penemuan lapan ekor lembu sambil disaksikan oleh pemandu kenderaan tersebut yang berusia 35 tahun.
Beliau berkata, anggota bertugas seterusnya telah meminta pemandu berkenaan untuk mengemukakan dokumen perjalanan bagi pemindahan lembu-lembu tersebut, namun lelaki itu gagal berbuat demikian.
Azhari berkata, lelaki tersebut mengaku telah menarik sendiri lembu-lembu tersebut dari tepi Sungai Golok sebelum dimuatkan ke atas lori untuk dihantar kepada peraih.
"Lembu tersebut diseludup menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM76,660," katanya.
Berita asal: Seludup lembu lepas waktu sahur
#seludup lembu #PGA #Batalion 7 Kuantan #sahur #Kampung Tok Rusa #Meranti #Azhari Nusi #Op Benteng #COVID-19
;