Seludup guna bas persiaran, 14 PATI bersama pemandu ditahan
Vivi Sumanti
Mac 11, 2021 00:29 MYT
Mac 11, 2021 00:29 MYT
KOTA BHARU: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok, Rantau Panjang, berjaya ditahan dalam satu sekatan jalan raya di sini petang tadi.
Komander Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kelantan, Rusli Karim berkata kesemua PATI berkenaan dibawa menggunakan bas persiaran yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan.
"AKSEM Kelantan berjaya menahan PATI berkenaan di sekatan jalan raya, Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, sekitar jam 2.30 petang tadi.
"Pemandu bas berkenaan dipercayai menjadi 'transporter' yang membawa PATI berkenaan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Kesemua yang ditahan itu memiliki pas lawatan yang sudah tamat tempoh dan memasuki Kelantan dari Thailand melalui pangkalan haram.
Pemandu dan PATI berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.
Menurut Rusli lagi, pemandu bas juga ditahan atas kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Bas persiaran berkenaan turut dirampas dan kes akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
#pati
#seludup
#Sungai Golok
#Rantau Panjang
#ditahan
#jabatan imigresen
#Kelantan
#ATIPSOM
#Akta Imigresen