Seludup diesel: Tiga lelaki warga Thailand didenda
Adie Sufian Zulkefli
Mei 22, 2023 17:37 MYT
Mei 22, 2023 17:37 MYT
ALOR SETAR: Tiga lelaki warga Thailand didenda Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini selepas masing-masing mengaku bersalah menyeludup keluar diesel bersubsidi dari negara ini ke Thailand di Bukit Kayu Hitam pada April lalu.
Hakim, Jean Sharmila Jesudason memerintahkan tertuduh pertama, Sakda Thaenkeson, 24, didenda sebanyak RM27,000, tertuduh kedua Kittisak Thongluean, 37, didenda RM30,000 dan tertuduh ketiga Phanuphong Yava, 23, pula didenda RM28,000 selepas pertuduhan pula dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Thailand.
Sekiranya gagal bayar, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing tujuh bulan serta lapan bulan.
Mengikut pertuduhan, Sakda meletakkan bahan api diesel dalam tangki kenderaan Toyota Hilux bagi tujuan dibawa keluar dari Malaysia melalui darat yang melebihi kuantiti berjumlah 53 liter dalam tangki kenderaan itu untuk ke Thailand.
Dia didakwa melakukannya di Lorong 2, Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu jam 11 pagi pada 11 April lalu.
Manakala Kittisak pula dituduh melakukan perbuatan sama dalam kenderaan Isuzu DMAX yang juga melebihi kuantiti iaitu berjumlah 72 liter di ICQS Bukit Kayu Hitam jam 11.50 pagi pada 13 April lalu.
Seorang lagi tertuduh, Phanuphong dituduh melakukan perbuatan sama dalam kenderaan Chevrolet Colorado yang melebihi kuantiti iaitu berjumlah 61 liter di Lorong 2, Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam di ICQS Bukit Kayu Hitam jam 11 pagi pada 11 April lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga kenderaan bersama diesel yang dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dan kemudiannya dijual masing-masing dengan hasil jualan bernilai RM113.95, RM154.80 dan RM131.15 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhamad Saiful Saaidin.
Kittisak diwakili Peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.