Seludup diesel: SPRM beku RM36 juta dalam akaun

Bernama
Ogos 29, 2024 18:07 MYT
Langkah pembekuan akaun itu dilakukan susulan Op Liter di Sibu pada Ahad lepas yang dijalankan SPRM, membabitkan sindiket menyeleweng diesel milik persatuan nelayan. - Foto SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun milik pengusaha stesen minyak dan dua pegawai penguat kuasa berjumlah RM36 juta bagi siasatan kes sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.
Menurut sumber langkah itu dilakukan susulan Op Liter di Sibu pada Ahad lepas yang dijalankan SPRM, membabitkan sindiket menyeleweng diesel milik persatuan nelayan serta dakwaan pemberian rasuah kepada penguat kuasa.
"Ia susulan penahanan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguakuasaan di Kuching, Sarawak.
"Dua beradik terbabit yang direman empat hari sebelum ini dibebaskan dengan jaminan pada hari ini, selepas tempoh remannya tamat dan setakat ini tiada penahanan baharu serta tiada rampasan lain dilakukan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.
Pada Selasa, seorang pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching, Sarawak ditahan dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada pukul 6.20 petang, telah direman sehingga sehingga 2 Sept.
Tangkapan ke atas suspek terbabit susulan serbuan dilakukan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi Op Liter di sebuah depoh simpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad.
Dalam serbuan itu, SPRM menyita 1.6 juta liter diesel serta wang tunai bernilai RM3.7 juta.
Sindiket penyeludupan diesel bersubsidi itu dikesan telah aktif sejak 2012.
-- BERNAMA
#SPRM #beku akaun #seludup diesel Sibu