Seludup dadah guna dron, bot rekreasi antara taktik licik penyeludup
Ridauddin Daud
Disember 14, 2020 16:40 MYT
Disember 14, 2020 16:40 MYT
KUALA LUMPUR : Seludup dadah menggunakan dron, mengaburi mata penguasa dengan menggunakan bot rekreasi, itu antara taktik licik penyeludup membawa masuk barangan haram ke Malaysia.
Sehubungan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, agensi penguatkuasaan tidak boleh hanya menggunakan strategi lama sebaliknya perlu kerap berubah kerana penyeludup kini menggunakan pelbagai cara baru.
Menurutnya, agensi perlu sentiasa berada di hadapan mereka dan jika mereka menggunakan teknologi baru yang lebih canggih, agensi penguatkuasaan juga perlu memiliki teknologi yang setara dengannya.
“Kalau peningkatan mereka seperti guna peralatan canggih seperti satu contoh, kita telah dengar bahawa ada pengedaran dadah menggunakan dron, tidakak pernah dengan dan guna sebelum ini tetapi ia ada sekarang.
“Maka kalau kita tidak ketahui kaedah itu dan kita tidak berada di dalam permainan mereka, kita tidak dapat menahan atau menangkap mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Prosedur Tetap Operasi (PTO) Op Benteng di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau juga berharap fungsi National Task Force (NTF) dapat diteruskan terutama dalam aspek kawalan di sempadan walaupun COVID-19 sudah berakhir.
Menurut Affendi, berkata penyusunan dan model operasi yang dilaksanakan NTF menunjukkan kesan positif dalam pengawalan sempadan terutama mengekang penyeludupan, kemasukan petandatang tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.
"Buat masa ini NTF berfungsi dan bergerak ketika negara berdepan ancaman COVID-19 dalam mengawal sempadan dan penguatkuasaan undang-undang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jika dilihat fungsi NTF dari segi penyusunan serta model operasi, ia amat efektif. Mungkin kita akan meneroka fungsi NTF ini dengan lebih luas sebagai contoh dalam kawalan sempadan pada masa depan (walaupun pandemik berakhir),” ujarnya.
Pada masa sama, beliau juga beharap kerajaan dapat menyediakan perjawatan kekal di NTF bagi menambah baik struktur organisasi bersepadu itu.
"Perkara utama yang kita sedang giat usahakan adalah bagi mendapatkan perjawatan kekal di NTF.
"Buat masa ini, kita menggunakan konsep penugasan sementara dan tambahan operasi melalui perjawatan sedia ada dalam perkhidmatan ATM dan juga agensi lain.
"Saya yakin keadaan ini memberikan kesan terhadap kelancaran pengurusan organisasi masing-masing," katanya.
#pati
#warga asing
#ATM
#seludup
#Dadah
#dron
#bot
#laut
#udara
#Angkatan Tentera Malaysia
#jenayah
#kerajaan
#tentera
#operasi
#undang-undang
#haram
#COVID-19
#PKP
#pandemik