Seludup bahan api: 13 pegawai UPP, PGA ditahan disyaki terima rasuah
Astro Awani
Mac 3, 2015 11:53 MYT
Mac 3, 2015 11:53 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 pegawai penguat kuasa, seorang bekas pegawai Unit Pencegahan Penyeludupan dan seorang orang awam kerana disyaki melindungi aktiviti penyeludupan bahan api ke negara jiran.
Kesemua mereka ditahan dalam Ops Licin 2, pada Isnin.
Penahanan itu adalah yang terbesar selepas operasi membabitkan pihak yang cuba mengelak membayar cukai di Zon Perdagangan Bebas Cukai (PKFZ) September lalu.
Pegawai penguat kuasa yang ditahan pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Suspek dipercayai menerima suapan di antara RM50 hingga RM4,000 daripada pengusaha stor petrol dan diesel tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Kedah.
Malah, dilaporkan ada di antara suspek terbabit menerima wang rasuah secara bulanan.
Daripada 15 yang ditahan, lima merupakan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), seorang bekas anggota UPP dan masing-masing enam anggota Pasukan Gerakan Am di Perak dan dua di Kedah.
Pesara yang ditahan merupakan bekas komander UPP berpangkat ASP yang diberkas di rumahnya di Alor Setar, manakala seorang orang awam yang bersubahat dengan suspek ditahan di Ipoh.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM 2009 membabitkan kesalahan meminta suapan oleh penjawat awam.